Monday, January 24, 2011

Warna-warni Pelangi Kehidupan


Kita melalui proses kehidupan yang sudah ditetapkan. Pengalaman pahit yang mahal harganya itu rupanya menjurus kepada jenis insan apa kita sudahnya. Meletakkan harga tinggi atau harga rendah kepada pengalaman itu terpulang kepada cara kita berfikir tentang hidup.
Beberapa bulan yang lepas saya bertemu dengan seorang usahawan  yang terkenal selepas selesai sesi ceramahnya. Penganjur meminta saya mewakili UIA untuk melayannya sebagai tetamu di meja makan. Saya tidak sabar untuk bercerita dengannya kerana dia adalah rakan sepermainan sewaktu zaman kami sama-sama susah waktu kecil. Dulu sama2 mandi di bilik air awam. Selepas Tingkatan 5 dia meneruskan pelajaran ke luar negeri dan selepas itu kami tidak pernah bertemu lagi. Saya mengkagumi kehebatannya yang telah berjaya dalam perniagaan walaupun pernah dibesarkan di sarang penagih dadah seperti saya. Saya memperkenalkan diri, cuba membawa ingatannya kembali kepada nostalgia lama zaman kanak-kanak dulu. Agak susah untuk dia mengingati saya dan setelah memberi pelbagai ’hint’ barulah dia ingat. Itupun dengan gaya yang agak berat untuk bercerita lebih lanjut tentang zaman silam kami. Dia lebih minat bercerita tentang kehidupannya kini sebagai usahawan. Dengan sedikit kecewa kerana menyangka dia juga ‘excited’ bertemu dengan kawan lama, akhirnya saya simpulkan tidak semua orang suka mengingati kisah duka dahulu dan tidak semua orang mahu masa lampaunya diketahui orang apalagi setelah  berada di tahap yang tinggi.


Warna-warni kehidupan boleh saja menjadi pelangi atau menjadi igauan ngeri. Sewaktu ia menjadi pelangi  kerap kita terlalai. Dalam menikmati indahnya pelangi kadang-kadang  kita terlupa rumput yang dipijak menangis kesakitan.
Tujuh warna pelangi itu adalah pecahan dari warna putih.  Ia tidak sama dengan warna-warna cat kerana  apabila pelabagai warna cat dcampurkan ia akan menjadi warna hitam. Cahaya2  pelangi tidak begitu. Apabila digabungkan melalui prisma ia akan kembali menjadi warna putih menerangi alam.  Antara cahaya dan cat sangat jauh bezanya sejauh bezanya warna hitam dan warna putih. Begitulah juga kehidupan kita, kita boleh memilih samada kita mahu ia dicorakkan oleh warna cahaya atau oleh warna cat.
Kalau setiap pengalaman hidup itu, samada pahit atau manis, kita anggap ia sebagai warna pelangi, kita tidak akan kecewa kerana kita tahu suatu ketika nanti apabila kita melihatnya kembali kita akan menikmati keindahannya sebagaimana kita melihat keindahan  pelangi.
Sebaliknya kalau kita menganggap pengalaman itu seperti warna cat yang mewarnai kehidupan, kita akan kecewa, kerana bak sifatnya warna cat, suatu masa nanti setelah warna2 itu bergabung  akhirnya menjadi hitam dan kita akan berada dalam kegelapan.
Untuk menjadi pelangi yang indah, setiap warna itu perlu mempunyai gelombang yang tertentu, tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang kerana kalau tidak ia akan menjadi warna lain dan pelangi tidak tebentuk. Pelangi berlaku selepas hujan. Ia perlu ada matahari untuk memberi cahaya, ia perlu titis-titis hujan untuk menyerakkan cahaya putih kepada 7 warna pelangi. Cahaya putih matahari akan memasuki titis2 hujan lalu terpancarlah pelangi yang melengkung membelah alam.
Sama juga dengan kehidupan, setiap kejadian yang berlaku dalam hidup itu sudah ditentukan Allah. Kita tidak perlu mendesak Allah untuk mengubahnya.Kita hanya boleh berdoa dengan lembut dan tulus. Sebelum mencapai kejayaan kita perlu melalui pelbagai ranjau dan ujian, dan  kita juga perlu pedoman. Ranjau itu ibarat titis2 hujan dan pedoman itu ibarat cahaya matahari sewaktu menghasilkan pelangi.
Dalam mendidik pelajar saya selalu mengatakan kepada mereka bahawa pembentukan peribadi seorang insan yang hebat biasanya apabila ia sedia melalui sekurang-kurangnya 5 proses kehidupan:
1. Proses Meneroka
Allah membentangkan alam ini untuk kita teroka. Kita dibekalkan  dengan akal, Al Qur’an dan sunnah Rasulullah saw. Usah takut sekiranya langkah kita tersalah kerana pengajaran yang paling melekat dihati kita adalah pengajaran dari kesilapan.
Peraturannya ialah: terokalah hidup ini tetapi jangan menyakiti makhluk Allah walaupun seekor semut yang halus.
 Usah menunggu apa2 yang disangka datang menggolek. Itu bukan meneroka namanya. Orang yang hanya menunggu tanpa melakukan sesuatu di akhirat nanti akan menangis kerana waktu terus meninggalkannya dan tidak mungkin akan kembali walaupun sesaat. Kalaulah masa itu boleh bercakap ia akan mentertawakan kita sambil berkata, “Bodohnya orang ini yang masih menunggu-nunggu aku sedangkan dia tahu aku terus berlari laju dan tidak pernah menunggunya.”
Usah takut pada rintangan dan kesusahan kerana tanpa itu semua kita tidak akan menjadi kuat. Dalam setiap rintangan dan kesusahan bukankah Allah tidak pernah berhenti memerhatikan kita dan Allah juga sudah berjanji yang kita tidak akan dibebankan dengan apa yang kita tidak mampu menanggungnya.
Kalau  kita seorang guru tanggungjawab kita adalah menyediakan laluan untuk anak didik menjalani penerokaan. Adakalanya apabila mereka lemah, kita perlu memimpin tangan mereka untuk terus berjalan. Adakalanya ketika mereka terjatuh, kita bangkitkan mereka kembali dengan sabar. Adakalanya ketika mereka terluka, kita membantu membalut luka itu dengan kasih sayang. Mereka adalah pewaris kita dan berilah mereka segala yang diperlukan agar mereka lebih hebat diri kita suatu hari nanati. Kita doakan mereka terus berjalan dan berjalan. Dalam hati kita pegang teguh hidup biarlah berjasa dan mati biarlah dalam iman.
Sebagai guru juga usah mengharapkan apa2 dari mereka walau sekadar ucapan terima kasih. Waktu mereka berjalan jauh di hadapan amat jarang mereka akan melihat kita di belakang…. maka relakan pemergian mereka.
2. Proses Mengenalpasti
Penerokaan akan sia2 jika kita tidak melakukan pengamatan dan berfikir. Kenali setiap nilai yang kita temui dengan akal dan budi. Pastikan yang buruk itu tidak bercampur dengan yang baik. Otak anugerah Ilahi yang kecil ini punya kapasiti yang sangat besar, namun ia akan kekal kecil jika tidak digunakan untuk proses mengenal dan memasti sesuatu nilai yang ditayangkan dalam layar kehidupan.
Peraturannya ialah …buka minda seluasnya2, bersihkan hati sebersih-bersihnya, serahkan diri kepada Allah setulus-tulusnya.
3. Proses  mengerti/ memahami
Fahami erti kehidupan. Cuba menegerti setiap nilai yang tersirat melalui minda yang terbuka dan jiwa yang besar. Ketepikan setiap su’ul zhan dan bertindak seadi-adilnya kerana ia akan menentukan paradigma yang akan menguasai pemikiran kita seterusnya.
Peraturannya ialah buang segala tabiat buruk yang menutup hati untuk memberi laluan cahaya. Hanya hati yang bercahaya saja yang boleh mengerti sesuatu dengan sempurna.
4. Proses mempelajari
Tanda kita manusia ialah kita boleh mempelajari dari apa yang dilihat, didengar dan dirasa. Namun ingat kata pepatah melayu

Peraturannya ialah bertanya kepada yang lebih tahu, usah berlagak mengenepikan guru.
5. Proses melaksanakan.
Tanda kita manusia ialah kita mudah lupa. Apa yang anda baca sekarang belum tentu anda boleh mengingati 10% dari isinya selepas 10 minit dari sekarang. Setiap apa yang dipelajari perlu dipraktikkan segera.
Peraturannya ialah biasakan diri terus mempraktikkan dan mengulang2 apa yang dipelajari.
Usah mudah merajuk dan berkecil hati kerana dunia ini kecil saja tetapi tanggungjawab kita sangat besar dan memerlukan jiwa yang besar untuk memikulnya.

No comments:

Post a Comment