Thursday, February 10, 2011

PeNaMpIlAn DiRi PrOfEsIoNaL

Pernahkah anda berasa ragu-ragu atau berasa tidak puas hati mengenai cara penampilan dan pilihan pakaian setiap kali hendak bersiap ke tempat kerja? Bagi kebanyakan wanita bekerja tidak dinafikan, sesekali mungkin bingung memikirkan pakaian apakah yang sesuai atau cocok dipakai apabila hendak ke tempat kerja. Lebih-lebih lagi, menyedari semua yang dilakukan akan dinilai oleh orang lain. Pengarah dan Pengetua Perunding Image Power serta D’Kee Image Power Sdn Bhd, Dolly Kee, berkata sewajarnya perkara itu menjadi keutamaan kerana hakikatnya cara individu itu berpakaian berperanan penting bagi orang lain melihat dan mengukur kredibiliti, keupayaan dan kematangan yang ada pada dirinya. Malah, penampilan yang betul dan imej profesional pada hari ini bukan lagi sesuatu yang mewah tetapi sudah menjadi suatu keperluan di kalangan wanita berkerjaya.


Beliau yang banyak mengendalikan bengkel dan seminar mengenai penampilan imej korporat berkata, pakaian serta penampilan mencakupi penilaian hampir 55 peratus jika individu itu ingin mendapatkan tanggapan positif secara keseluruhan terhadap dirinya. Oleh sebab itulah membina imej profesional adalah penting kerana ia juga dapat membina keyakinan diri dan melahirkan kuasa pada diri individu berkenaan.

“Hampir semua yang kita lakukan akan dinilai orang lain. Penilaian ini dilakukan menerusi penglihatan, pendengaran, sentuhan dan bau. Untuk itulah faktor utama penilaian ialah daripada apa yang dilihat termasuk melalui pakaian, gaya penampilan dan diikuti oleh cara penyampaian mesej (vokal) serta kata-kata dalam mesej (perkataan diguna),” katanya ketika ditemui di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kee berkata, umumnya terdapat tiga persepsi asas untuk membentuk imej profesional. Pertama, cara kita melihat diri sendiri iaitu adakah kita berpuas hati dengan penampilan diri sendiri manakala kedua, cara orang lain melihat diri kita yang mana ia perlulah dilihat dengan kritis dan hati terbuka. Ketiga ialah persepsi ideal yakni cara kita ingin melihat diri kita dan ingin dilihat oleh orang lain.

“Satu peraturan mudah yang perlu diambilkira dan harus disematkan di dalam fikiran jika ingin berpakaian menarik serta sesuai di tempat kerja dan berhasrat menonjolkan kredibiliti imej profesionalisme ialah mempertimbangkan sama ada pakaian yang dipakai akan mengganggu orang lain atau pun mampu meningkatkan gaya penampilan diri anda secara keseluruhan.

“Contohnya, jika anda masuk ke pejabat dengan anting-anting dan gelang serta rantai yang mengeluarkan bunyi atau pakaian dengan belahan dada begitu luas, penampilan seperti itu tidaklah sesuai kerana anda boleh mengganggu orang lain dan bukannya menyerlahkan penampilan. Lebih teruk jika gaya yang ditonjolkan itu boleh menjejaskan kredibiliti anda pada pandangan mata rakan sekerja lain,” katanya.

Kee berkata, dalam menentukan dan memilih pakaian yang sesuai untuk ke tempat kerja antara perlu difikirkan ialah ia sewajarnya selari dengan bidang kerjaya atau industri diceburi oleh individu berkenaan. Gaya penampilan dan pakaian yang dipakai bukan saja perlu memberikan keselesaan tetapi mestilah sesuai dengan bidang tugas dilakukan. Jangan sesekali memberikan atau menimbulkan tanggapan negatif orang lain kepada kita, sebaliknya penampilan yang ditonjolkan pada akhirnya mesti dapat memberikan diri anda ‘kuasa’ dan mampu meraih kepercayaan.

Menjelaskan penampilan korporat, beliau berkata walaupun gaya penampilan korporat sudah ada tolak ansur dan pendekatannya lebih terbuka sejak beberapa tahun ini, beberapa peraturan asas masih lagi menjadi amalan.




Katanya, bagi wanita berkerjaya, antara asas yang perlu dipertimbangkan ialah memiliki pakaian yang mempunyai kualiti terbaik dan skirt atau seluar yang didatangkan dengan jahitan serta potongan kemas. Memiliki semua itu adalah satu cara terbaik sebagai permulaan. Selain itu mengutamakan kualiti fabrik juga penting kerana ia boleh menyerlahkan imej keseluruhan si pemakainya.

Dari segi pilihan warna pula antara yang perlu ada ialah biru, kelabu, perang dan hitam kerana rona seumpama itu mudah disuai padan dengan bergaya sekali. Begitu juga putih, malah setiap wanita disarankan perlu ada sekurang-kurangnya satu koleksi warna pakaian itu kerana ia mudah dan mampu menyerlahkan personaliti serta penampilan imejnya.

Kee berkata, untuk wanita pemakaian skirt lebih menyerlahkan gaya korporat jika dibandingkan memakai celana panjang. Malah, skirt potongan pensil memberikan kesan penampilan yang kemas dan menarik untuk semua potongan tubuh.

“Bagi wanita bertudung, mengikut budaya tempatan anda boleh menggayakan baju kurung atau kebaya kerana kedua-dua pakaian itu diambilkira sebagai pakaian formal dalam dunia korporat. Tetapi perlu berhati-hati dengan pilihan corak, warna dan penambahan lain seperti sulaman dan sebagainya kerana ia mungkin boleh menjadikannya tidak sesuai. Bagaimanapun, untuk sari dan cheong sam kedua-duanya tidak dikira sebagai pakaian sesuai untuk dunia korporat tetapi lebih digayakan untuk musim perayaan,” katanya.

Kee turut menyarankan, individu memiliki jaket kerana ia boleh dijadikan ‘penyelamat’ dalam keadaan tertentu. Tidak kiralah, sama ada jaket berkenaan mempunyai butang, tidak berpoket atau panjang dan juga yang pendek. Apa yang penting jaket itu mestilah berkualiti baik dan boleh mengubah atau membantu menampakkan penampilan anda tampak kemas, padan serta menarik.

Jika menyukai blaus yang mempunyai ropol, renda dan reben, anda boleh mengenakannya kerana hiasan tambahan seperti itu boleh memberikan kesan lebih menarik, di samping masih sesuai digayakan sebagai pakaian ke pejabat. Namun, pastikan hiasan berkenaan tidak terlalu berlebih-lebihan atau ‘mengganggu’ sehinggakan penampilan anda tampak cela. Konsep demikian sama juga jika ingin memilih pakaian bercorak dan bermotif bunga. Sebaik-baiknya, pilihlah yang sederhana dan tidak memberikan impak keterlaluan dan memperlihatkan ia mendominasi apa yang anda pakai.

“Begitu juga jika memilih aksesori lain seperti kerongsang, skaf dan anting-anting. Pemakaiannya seharusnya membantu anda untuk kelihatan sedikit menyerlah dan ada sedikit perubahan,” katanya.

Untuk pilihan kasut, rekaan anggun bersarung dan warna hitam lazimnya menjadi pilihan kerana ia memberikan gaya yang versatil dan sentiasa memperlihatkan gaya profesional. Sementara itu, tas tangan walaupun rekaan bersaiz besar menjadi aliran fesyen terkini ia tidak cocok dengan imej profesional. Oleh itu bawalah tas tangan yang sesuai dan tidak bermakna hanya kerana aliran fesyen terkini, ia sesuai untuk anda menggayakannya.

Selain pakaian dan kelengkapan fesyen yang lain, katanya wanita berkerjaya juga tidak seharusnya melupakan gaya solekan, rambut dan juga penggunaan minyak wangi. Misalnya, penggunaan minyak wangi sebelum keluar ke tempat kerja bukan saja dapat memberikan haruman kesegaran tetapi membantu meningkatkan lagi keyakinan diri seseorang itu.

“Sebelum keluar meninggalkan rumah untuk pergi kerja, lihat diri anda sekali lagi dan jika anda bersama layak, anggun, kemas dan profesional, bolehlah anda meneruskan langkah,” katanya.

Panduan bergaya dan penampilan sesuai ke tempat kerja bagi wanita yang bekerja dalam sektor korporat profesional

* Gaya berpakaian: Ringkas anggun dengan sentuhan yang canggih.
* Pilihan aksesori: Barang kemas, jam tangan, beg tangan, kasut, skaf/tudung.
* Warna pakaian: Disarankan memakai pakaian yang tidak lebih daripada tiga warna padu dalam satu masa.
* Koordinasi warna: Kooridnasi yang sempurna dari hujung rambut hingga ke kaki.
* Pilihan Fabrik: Pilih material berkualiti yang tidak mudah kusut.

Perkara yang perlu dielakkan:

* Tampak selekeh atau tidak kemas.
* Gaya rambut yang tidak terurus.
* Mewarnakan dan mendandan rambut secara keterlaluan.
* Tidak mengenakan pakaian sesuai seperti memakai mini skirt, seluar potongan tiga suku, lengan pendek dan sebagainya.
* Memakai aksesori yang berlebih-lebihan sehingga mengganggu dan merosakkan penampilan

p/s: saya copy n paste je...huhu..tapi saya harap dapat kongsikan dengan kawan2...:)

No comments:

Post a Comment